RUMAH RONALD MCDONALD PERTAMA DI SABAH

RUMAH RONALD MCDONALD PERTAMA DI SABAH

 Assalamualaikum korang! Kita sedia maklum mengenai Rumah Ronald McDonald (RMH) yang banyak membantu keluarga pesakit semasa pesakit berada dalam tempoh rawatan dan pelbagai lagi kelebihan yang diberikan. Rumah Ronald McDonald akan dibuka di Sabah bertempat di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS).

Rumah Ronald McDonald ini merupakan rumah yang ke-4 penubuhannya di Malaysia namun yang pertama di Negeri Sabah Bawah Bayu. Beruntungnya kami orang Sabah terutama bagi keluarga pesakit pediatrik. Tidak perlu lagi memikirkan penginapan sepanjang ahli keluarga mereka menerima rawatan terutama di hospital berkenaan. Rumah Ronald McDonald ini bakal dibuka pada suku pertama tahun 2023 setelah termeterainya Perjanjian Persefahaman (MoU) diantara Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah diwakili oleh Dato’ Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia dan Mohd Nasri Mohd Nordin, Pengurus Besar RMHC Malaysia. Manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diwakili oleh Datuk Harjeet Singh A/L Hardev Singh selaku Ketua Setiausaha KKM serta Dr Marcus Netto, Pengarah HWKKS. 


Upacara menandatangani perjanjian persefahaman ini disaksikan oleh Datuk Ir. Shahelmey Bin Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap EXCO Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Kesihatan II, dan Datuk Dr. Rose Nani Mudin, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.


Setelah termeterainya perjanjian ini, mesti kita bertanya, dimana agaknya lokasi Rumah Ronald McDonald ini akan dibina. Untuk pengetahuan korang, Rumah Ronald McDonald ke-empat ini akan dibina dalam pekarangan HWKKS dan akan dilengkapi dengan 16 bilik keluarga termasuk kemudahan lain untuk kegunaan keluarga seperti dapur dan ruang makan, bilik dobi, ruang istirahat, bilik permainan kanak-kanak dan juga bilik solat. Rumah Ronald McDonald adalah kemudahan penginapan sementara atau “home away from home” untuk keluarga yang mempunyai anak yang dirawat di hospital. Fasiliti ini meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah dengan kos penginapan yang sangat berpatutan bagi membolehkan ahli keluarga menginap berdekatan dengan anak mereka ketika sedang mendapatkan rawatan perubatan.

 

Amat memudahkan bukan? Bagi Eca sendiri, apabila ahli keluarga berada dalam tempoh rawatan, pasti kita akan memikirkan penginapan mahupun fasiliti yang boleh kita gunakan sepanjang menjaga pesakit tersebut. Eca sendiri pernah menjaga arwah kawan baik serta ibu saudara yang sedang mendapatkan rawatan di wad. Agak payah untuk berulang-alik tambahan pula dengan ketiadaan kenderaan ketika itu, terkejar-kejar balik ke rumah untuk mendobi, menyelesaikan tugasan lain….dengan adanya Rumah Ronald McDonald ini, semuanya menjadi lebih mudah.

 



Tahukah korang sejarah penubuhan RMH ini?….

Menurut kata Dato’ Azmir Jaafar, “Rumah Ronald McDonald pertama di Malaysia telah dibina pada tahun 1999, bertujuan menawarkan penginapan yang mudah, selesa dan berpatutan dalam pekarangan hospital kepada keluarga pesakit kanak-kanak. Kami mahu meringankan beban kewangan dan emosi yang dihadapi keluarga terlibat, terutamanya yang daripada golongan B40, di mana anak mereka perlu mendapatkan rawatan perubatan. Memberi sokongan kepada golongan masyarakat yang memerlukan ketika waktu-waktu sukar adalah teras utama bagi Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia).” Tambahan beliau lagi, “Pembinaan Rumah Ronald McDonald ke-empat di negara ini dapat dilakukan dengan jayanya hasil sumbangan ikhlas orang ramai melalui tabung derma RMHC dan kiosk pesan sendiri yang terdapat di lebih 300 restoran McDonald’s di seluruh negara.”

 

Selain Rumah Ronald McDonald di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah yang dijangka dibuka pada 2023, terdapat tiga lagi Rumah Ronald McDonald yang beroperasi di Semenanjung Malaysia. Salah satunya terletak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) di Kuala Lumpur yang sudah lebih 20 tahun beroperasi; satu lagi di Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur dan yang lainnya di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) di Kubang Kerian, Kelantan. Tanpa kita sedari, sebenarnya terdapat lebih daripada 370 RMHC di seluruh dunia, 4 daripadanya berada di Malaysia. Ayuh kita doakan agar lebih banyak pembinaan RMH dijalankan di seluruh Malaysia khususnya agar beban keluarga pesakit dapat kita ringankan.


Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Kesihatan II turut menzahirkan rasa bangga dan menyokong inisiatif yang sangat bermanfaat seperti penubuhan RMHC memandangkan banyak keluarga terpaksa berulang-alik untuk menjaga anak mereka yang sedang menerima rawatan perubatan di hospital. Menurut beliau lagi, “Rumah Ronald McDonald dibina dalam pekarangan hospital yang membolehkan keluarga yang terlibat mendapat kemudahan penginapan dengan harga berpatutan dan supaya mereka berada berdekatan dengan anak apabila diperlukan. Ini secara langsung memberikan ketenteraman kepada keluarga serta mengurangkan beban yang dihadapi. Kerjasama antara pihak Kementerian dan RMHC Malaysia menyatakan komitmen kami untuk terus membantu keluarga untuk sentiasa dekat bersama melalui inisiatif ini.”

Untuk pengetahuan korang, RMHC Malaysia melaksanakan empat program utama untuk membantu kanak-kanak di Malaysia iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, ‘Gift of Smile’ dan pek Kembali ke Sekolah untuk kanak-kanak sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan. Program-program ini berdasarkan tiga teras utama RMHC Malaysia iaitu Kesihatan, Pendidikan dan Kebajikan. Selain tabung derma RMHC Malaysia, pelanggan juga boleh membuat sumbangan melalui Kiosk Pesan Sendiri di restoran McDonald’s dan juga saluran pembayaran digital seperti PayPal, Boost, e-dompet Touch ‘N Go dan platform e-dagang Shopee.

Dalam tidak sedar, sebenarnya ada saja tempat kita boleh salurkan derma bagi meringankan beban orang lain. Lepas ni, bolehlah kita sama-sama menderma semasa membeli hidangan di McDonalds, restoran makanan segera kegemaran Eca tuuu. Jom kita bersama-sama ringankan beban orang lain. 

Post a Comment

0 Comments